#idearaya

SelangorKini: Bukan biasa-biasa, Festival Idearaya angkat martabat bahasa Melayu

Oleh: LIZAWATI MADFA


Usaha membudayakan masyarakat Malaysia yang kurang gemar dengan aktivit budaya bukan satu usaha entengan. Kerja-kerja itu harus dilakukan secara berterusan, bersungguh-sungguh dan besar-besaran.

Atas kesungguhan itu, maka lahirlah Festival Idearaya yang akan mengambil tempat di Laman Budaya, Shah Alam, pada 12 dan 13 September ini .

Julung kali diadakan, ia tercetus melalui penganjuran Festival Of Ideas sepert di United Kingdom dan Australia, selain pernah dua kali dianjurkan di Kuala Lumpur.

Berbanding medium bahasa Inggeris, Festival Idearaya bagaimanapun gagah mengangkat bahasa Melayu sebagai medium mengetengahkan lima disiplin kehidupan iaitu, budaya, falsafah, sejarah, hak asasi serta ekonomi ekologi.

idearayaJurucakap penganjur, Maryam Lee, berkata kelima-lima disiplin itu akan dipersembahkan dalam bentuk berbeza seperti forum, syarahan, bengkel, seni dan tayangan filem.

“Kita juga menjemput tetamu serta panelis antarabangsa yang boleh berbahasa Melayu, jika yang tidak boleh pun kita sediakan penterjemah,” kata gadis berusia 23 tahun itu membuka bicara.

Selain keunikan diadakan dalam Bahasa Melayu, panelis jemputan juga terdiri dalam kalangan cendekiawan dan pemikir dari negara Asia Tenggara yang jarang diketengahkan sebelum ini.

Katanya, landasan Festival Idearaya sememangnya dikhaskan untuk mereka yang berpotensi tetapi tidak berpeluang mengetengahkan idea dan pandangan di mana-mana pentas ‘mainstream’ sebelum ini.

Antaranya, arkeologis Universiti Sains Malaysia (USM), Nasha Rodziadi Khaw yang bukan sahaja berpengalaman dalam bidangnya, malahan boleh menulis dan bertutur dalam bahasa Sanskrit.

“Ini juga kelainan yang kita mahu sampaikan. Festival Of Ideas kebiasaannya mengangkat golongan yang sudah dikenali, tetapi kita membuka peluang lain.

idea“Baru-baru ini, Festival Dangerous Ideas menjemput individu seperti Tun M untuk berbicara atas pentas mereka dan kebanyakan kita sudah tahu ucapan seperti apa yang dibawanya.

“Di Idearaya, berbeza. Idea yang diketengahkan sesuatu yang jarang kita dengar, bukan biasa-biasa,” kata Maryam.

Mengulas cabaran mengadakan Festival Idearaya, gadis periang itu mengakui membentuk model pertama adalah cabaran yang besar.

Sememangnya, sudah ada konsep Festival Of Ideas sebelum ini yang dijadikan panduan, namun katanya untuk menjadikan ia milik Idearaya yang selari dengan nilai budaya dan kehendak tempatan ternyata tidak mudah.

Lebih 10 bulan memulakan langkah pertama, Maryam bersyukur segala niat suci mereka seakan dipermudah Illahi.

Katanya, bermula dengan perbincangan demi perbincangan seawal Januari lalu, panelis yang dijemput juga memberikan kerjasama dan sokongan baik.

Begitu juga dengan kerjasama pihak lain termasuk Kerajaan Selangor menerusi portfolio pendidikan dan kebudayaan ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

Bagi mereka yang berminat mengikuti forum, Festival Idearaya menyediakan tujuh forum dengan isu perbincangan yang spesifik dan kontemporari.

Tajuk seperti Berhala Ilmu Barat, Aktivis Syok Sendiri, Sejarah Politik, Negara Ilusi Bangsa Imaginasi, Sastera Tertawan, Hentikan Pencakar Langit, Lebuhraya dan Empangan serta Apa Selepas AUKU pastinya menarik untuk disertai.

Selain forum, program syarahan turut disediakan dengan menjemput dua nama yang tidak asing lagi, Faisal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani serta Syed Farid Al-Attas.

Faisal akan mengupas Gagasan Hak Asasi Moden seperti yang terkandung dalam The Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR).

Intipati syarahan akan menjelaskan bagaimana ajaran Islam sejajar dengan gagasan Hak Asasi Moden seperti terserlah dalam UDHR serta kupasan menarik lain.

Sementara itu, syarahan daripada Syed Farid akan menyingkap kebanjiran wacana yang memutar belit dan membahayakan ilmu kemasyarakatan.

Kedua-duanya dikaitkan dengan usaha menjelmakan wacana alternatif untuk mengganti wacana orientalis yang akhirnya melahirkan wacana hegemonik memelihara kuasa negara dan golongann pemerintah.

Melihatkan sinopsisnya, kedua-dua syarahan itu ternyata tidak enak dilepaskan begitu sahaja.

Pada masa sama, Maryam berkata terdapat juga penganjuran program seni termasuk pameran Dia;Spora, fotografi: Seth Akmal dan Indiraya Gig.

Bukan itu sahaja, enam bengkel turut diadakan iaitu; Tepuk-Tepuk Cagun, Apresiasi Sajak, Suara Di Pinggir, Sabun Bikin Sendiri, Bengkel Bikin Didgeridoo, Bengkel Alam Kanak-kanak dan Bengkel Kewartawanan ‘Ada Apa Dengan Akhbar’.

“Semua ini kita aturkan bagi memenuhi semua kelompok masyarakat, sama ada tua dan muda dengan kepelbagaian program daripada serius kepada santai.

“Kita juga sediakan pawagam kita sendiri di tengah-tengah Laman Budaya. Jika ingin merasai bagaimana terujanya, bolehlah ramai-ramai datang menyaksikan pelbagai filem yang bagus karya anak tempatan,” katanya merujuk kepada program tayangan filem.

Antara filem yang bakal ditayangkan ialah Boonrerm, Langad Di Odu, Kau Di Kanan Aku Senang, Bermula Dari A, Side Glance of Dragon, Ying & Summer, Flower in the Pocket serta dokumentari Where I Go dan Glass Man.

Melihat kembali senarai program yang disusun sepanjang Festival Idearaya, Maryam yakin tiada sebab ia gagal menarik perhatian orang ramai untuk mengisi hujung minggu mereka di Laman Budaya.

Selain pelbagai program menarik, fasiliti dan kemudahan seisi keluarga turut disediakan penganjur termasuk bilik menyusu untuk ibu dan anak.

“Setakat ini, harapan terdekat tentunya ramai orang datang dan terkesan serta gembira dengan apa yang kami kongsi dan sampaikan.

“Lebih penting, kami harapkan ada sokongan lebih kuat lagi terhadap gerakan budaya selepas Idearaya ini dalam bentuk momentum berkala daripada segi tulisan, video serta jenis dokumentasi lain untuk generasi akan datang,” katanya mengakhiri perbualan panjang.

Tanpa sebarang bayaran dikenakan, Festival Idearaya adalah gabungan tenaga tujuh kumpulan atau kolefitf budaya iaitu, Buku Jalanan, Frinjan, Universiti Terbuka Anak Muda, The Sponsorship Movement, Kuliah Buku, Pusat Kajian dan Apresiasi Filem serta Kelab Filem Bangsar.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut pengisian dan jadual setiap program serta barisan panelis, orang ramai boleh berkunjung ke laman web rasmi di www.idearaya.com.

Selain itu, boleh juga mengikuti perkembangan terkini di laman facebeook.com/idearaya atau Twitter di @idearaya2015 atau instagram @idearaya.


Sumber: SelangorKini

Leave A Comment

Your email address will not be published.