#idearaya

DailySeni: FESTIVAL IDEARAYA 2015 JULANG ISU-ISU TERPINGGIR ASEAN

by THE DAILY SENI | AUGUST 14, 2015


Festival IDEARAYA 2015 (IDEARAYA) bakal diadakan di Laman Budaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada 12 dan 13 September. Festival alternatif yang menjadi wahana silang budaya dan disiplin ilmu ini bertujuan untuk menemukan penggerak kebudayaan, pengkarya seni, ahli sastera, cendekiawan serta kolektif dan aktivis akar umbi peringkat Asia Tenggara.

Koordinator Festival IDEARAYA, saudara Zikri Rahman berkata para pengunjung berpeluang terlibat dalam merayakan idea melalui medium forum, syarahan, tayangan, diskusi, bengkel, persembahan serta pameran seni sepanjang dua hari festival berlangsung.

Ujarnya, para pengunjung juga bukan sahaja dapat melibatkan diri dalam tujuh buah siri forum ilmiah serta tayangan filem serata Asia Tenggara malahan boleh melibatkan diri dengan pelbagai tarikan yang lain seperti bengkel kewartawanan dan bengkel membuat alat musik antara lainnya.

Pameran seni berjudul “Diaspora” oleh tiga karyawan muda serta pameran fotografi “Spora” akan turut menarik perhatian para pengunjung dalam meraikan seni sebagai tunjang utama Festival Idearaya.

IDEARAYA digerakkan tujuh buah kolektif iaitu Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), The Sponsorship Movement (TSM), Kuliah Buku (KuBu), Pusat Kajian dan Apresiasi Filem (PKAF), Kelab Filem Bangsar serta dua lagi kolektif iaitu Frinjan dan Buku Jalanan yang tersenarai di dalam slaid dikeluarkan Biro Tatanegara berjudul “Gerakan Indie di Malaysia” sebagai  grup yang mempengaruhi suasana politik negara menuju pilihanraya akan datang.

“Antara yang menjadi keutamaan Festival Idearaya edisi kali ini ialah isu hak asasi, sejarah, falsafah, budaya serta ekonomi dan ekologi di Asia Tenggara dalam membuka medan cetusan idea dan daya menggerakkan serta mensasarkan masyarakat akar umbi untuk proses pemberdayaan yang berterusan,” kata Zikri.

Menurut Arian Ploso yang juga salah seorang yang terlibat dengan Kuliah Buku (KuBu) berkata festival ini menarik untuk diberikan sepenuh perhatian oleh golongan muda kerana usaha dan komitmen seperti ini bergerak dan bermula dari akar umbi, dari bawah dan tidak dikawal ataupun dikongkong oleh mana-mana pihak yang mempunyai kuasa dan dana.

Beliau meneruskan lagi bahawa festival ini adalah salah satu bukti bahawa anak-anak muda mulai berjaya untuk melakukan inisiatif yang berada di luar kerangka formaliti dan seterusnya turut terlibat di ruang awam dimana golongan-golongan majoriti rakyat turut berada.

IDEARAYA adalah sebuah festival terbuka dan percuma untuk semua yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan didanakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pembangunan Generasi Muda & Sukan,Kebudayaan Dan Pembangunan Usahawan serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi & Inovasi Selangor.

Beliau berkata setakat ini, Festival IDEARAYA masih menerima penyertaan bagi ruang bazar yang akan berkolaborasi bersama Pasar Boco dengan sasaran seramai 2500 pengunjung nanti.

IDEARAYA merupakan satu festival dianjurkan Buku Jalanan, Frinjan, Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), The Sponsorship Movement (TSM), Kuliah Buku (KuBu), Pusat Kajian dan Apresiasi Filem (PKAF) dan Kelab Filem Bangsar.


Sumber: DailySeni

Leave A Comment

Your email address will not be published.