#idearaya

Sabtu, 12 September @ Panggung Forum


11:00 pagi

Syarahan Faizal Musa (Faisal Tehrani)

Hak Asasi Manusia: Dari Sejak Prasasti Talang Tuo (684 Masehi) Sehingga Era Najib Razak (2015 Masehi)


Gagasan Hak Asasi Moden seperti yang terkandung dalam The Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR) sering dijadikan tebusan oleh relativis budaya dengan dua alasan. Pertama, UDHR tidak menepati syariat Islam. Kedua, UDHR adalah gejala atau produk Barat dan tidak sesuai dilaksanakan sepenuhnya di Timur. Syarahan ini akan cuba menjawab kedua-dua hujah relativis budaya tersebut. Intipati syarahan akan menjelaskan bagaimana ajaran Islam sejajar dengan gagasan Hak Asasi Moden seperti terserlah dalam UDHR. Syarahan turut mengenengahkan gagasan hak asasi manusia tradisional yang pernah dipraktikkan oleh orang Melayu, iaitu masyarakat peribumi Nusantara. Idea dan intipati gagasan hak asasi manusia tradisional ini ditemukan dalam prasasti kuno, peribahasa, dan pantun. Oleh kerana itu tanggapan bahawa hak asasi manusia moden tidak dapat dilaksanakan secara total dengan alasan tidak Islami atau tidak cukup Timur tertolak. Syarahan akan turut menyorot secara ringkas rekod hak asasi manusia Malaysia sejak merdeka. Hak asasi manusia moden adalah universal sifatnya walaupun metode operasionalnya akan berbeza.

Profil Panelis

12:30 tengah hari

Apa selepas AUKU?

Meneliti ilusi kebebasan universiti


Jika kita mahu institusi seperti UiTM dan New Era College dibuka kepada semua, apakah kerangka yang akan membawa kepada keadilan sosial? Forum ini mengakui bahawa jauh dari menjadi enjin perubahan dan medan spekulasi idea baru, universiti telah layu menjadi sekadar pusat latihan yang melahirkan robot-robot yang taat berdisiplin. Tapi adakah dengan menghapuskan AUKU dan kuota kaum ia akan kembali mekar? Kita sering mendengar laungan untuk universiti berimankan meritokrasi dan bersaing di arena global. Tetapi di manakah pertimbangan kepada kelas sosial, keterpinggiran dan hubungan dengan kaum? Adakah pasca AUKU universiti kita akan terperangkap dalam wacana neoliberal yang kemungkinan lebih merbahaya dari cengkaman undang-undang seperti AUKU?

Moderator:

Sharifah Nursyahidah, Sosialis Alternatif/CWI

Panelis:

  • Bawani KS, Parti Sosialis Malaysia
  • Teo Lee Ken, Universiti Kebangsaan Singapura

Profil Panelis

Facebook Event

02:00 petang

Sastera Tertawan?

Kebangkitan Karyawan Neoliberal di dunia bahasa Melayu?


Apa kaitan Festival Cooler Lumpur, laman web sastera Jalan Telawi, ikon sastera Goenawan Muhammad serta Komunitas Salihara di Indonesia? Hari ini kita selalu pantas menyambut sastera dan sasterawan yang sarat dengan nilai-nilai individualisme, demokrasi liberal serta sikap yang optimis terhadap pasaran bebas. Angkatan liberal ini membentuk sebahagian kecil dari pelbagai jalur karyawan di Nusantara, tetapi kedudukan mereka di dalam media dan wacana memberikan kesan besar untuk seni dan budaya. Masihkah ada sastera yang menentang kapitalisme dan imperialisme? Masihkah ada sastera yang membawa suara pembebasan dan revolusi sosial? Adakah kita sedang melihat gelombang kapitalisme neoliberal menyerap masuk ke dalam kebudayaan bahasa Melayu?

Moderator:

Febriansyah, Sosialis Alternatif/CWI

Panelis:

  • Azhar Ibrahim, Universiti Kebangsaan Singapura
  • Katrin Bandel, Universitas Sanata Dharma

Profil Panelis

Facebook Event

03:30 petang

Negara Ilusi, Bangsa Imaginasi!

Membincangkan perang pemisah di Patani dan Asia Tenggara


Hari ini kita lebih arif tentang Palestin daripada perang-perang yang lebih berdekatan dengan tanahair kita: Papua Barat, Selatan Thailand, konflik dalaman Myanmar, Mindanao. Walhal sejak tertubuh negara-bangsa yang merdeka, Asia Tenggara telah menjadi saksi kepada beberapa peperangan oleh puak pemisah yang mahu membebaskan diri. Adakah konflik-konflik ini hanya sekadar kerana berlainan agama, bahasa, dan etnik? Ataupun ada keganasan yang lebih mendalam akibat tertubuhnya sebuah sistem Negara yang hanya membenarkan satu landasan – satu Bangsa, satu undang-undang, satu bahasa, satu budaya! Di sinilah kita perlu membawa wacana keadilan sosial dan mencabar konsep Negara-Bangsa yang tertanam dalam ke sanubari setiap dari kita. Oh ya satu lagi, agaknya beranikah Johor merdeka dari Malaysia?

Moderator:

Sharifah Nursyahidah, Sosialis Alternatif/CWI

Panelis:

  • Arfan Wattana, Persekutuan Mahasiswa dan Anak Muda Patani
  • Adrian Pereira, North-South Initiative

Profil Panelis

Facebook Event

05:00 petang

Sejarah Politik / Politik Sejarah

Peperangan untuk memori dan kepelbagaian


Sejarah telah menjadi mangsa budaya pembodohan. Buku-buku teks telah disongsangkan, dimanipulasi oleh pemerintah untuk kuasa politik, dan kemudiannya pula muncul sejarawan-sejarawan blogger yang menjaja sejarah sebagai hal mistik dan tahyul. Akhirnya, sejarah dianggap membosankan oleh orang ramai.

Realitinya bagaimanapun agak berbeza. Karya sejarah yang dinamik dan berkepelbagaian telah lama dikeluarkan oleh para sarjana tentang masyarakat kita. Para sejarawan di rantau Asia Tenggara sedang giat membuat kajian-kajian dengan teknik pensejarahan yang menginterpretasikan semula atau memberi naratif baru kepada sejarah masyarakat Nusantara. Secara langsung sejarah rasmi yang tunggal itu saban tahun bukan lagi mendominasi penjelasan kepada fenomena sosial. Mengapa para sarjana tidak aktif mencerna sejarah-sejarah baru ini ke dalam masyarakat? Adakah ketidakhadiran mereka dalam budaya pop telah mewujudkan sejarawan amatur yang kini mempopularkan kisah-kisah mistik dan interpretasi yang berasaskan tahyul di alam maya?

Dari situ berbalik kepada soal sejarah, mengapa sejarah masih dilihat sebagai sebuah cerita yang tunggal? Mengapakah sejarah kebangsaan sering dipertikaikan oleh ramai sejarawan? Apakah usaha pensejarahan alternatif yang sedang dilakukan di Asia Tenggara? Bagaimana hegemoni kuasa digugat oleh bacaan baru kepada sejarah rantau ini?

Moderator:

Teo Lee Ken, Universiti Kebangsaan Singapura

Panelis:

  • Nasha Rodziadi Khaw, Universiti Sains Malaysia
  • Diana Wong, Ahli Sosiologi

Profil Panelis

Facebook Event

Ahad, 13 September @ Panggung Forum


11:00 pagi

Syarahan Syed Farid al-Attas

Wacana yang Memutarbelitkan dan Membahayakan Ilmu Kemasyarakatan


Kita telah pun merdeka dari British, tetapi adakah kita telah terjajah oleh golongan pemerintah hari ini?

Sejak kurun kesembilan belas telah menjelma kesedaran akan kekurangan kecocokan antara ilmu-ilmu kemasyarakatan Barat dan kenyataan sosial di dunia Melayu.Pelbagai contoh ketidaksesuaian andaian-andaian Barat telahpun diperhatikan dalam kritikan tentang kedudukan ilmu-ilmu kemasyarakatan di dunia Melayu. Beberapa sarjana pada kurun kesembilan belas dan lebih ramai lagi pada zaman pasca-penjajahan telah mencatat bahawa ilmu kemasyarakatan tidak boleh dipindahkan dari suatu latar sejarah dan ekonomi-sosial tertentu kepada yang lain tanpa memutar-belitkan pemahaman terhadap kenyataan itu. Secara ringkas, masalah ketidaksesuaian ilmu kemasyarakatan Barat telah dikenalpasti dan keperluan membangkitkan pengganti-pengganti yang sesuai telah diakui.

Meskipun demikian, dalam usaha menjelmakan wacana untuk mengganti wacana Orientalis, telah muncul suatu wacana hegemonik yang baru dan yang berfungsi untuk memelihara kuasa negara dan golongan-golongan pemerintah. Keduanya wacana Orientalis dan wacana golongan pemerintah dihinggapi masalah memutarbelitkan dan membahayakan masyarakat.

Profil Panelis

12:15 tengah hari

Aktivis Syok Sendiri

Siapa kita untuk bersuara?


Dah tentu ramai aktivis sebenarnya bukanlah tergolong dari orang miskin atau terpinggir. Mereka merupakan sebuah golongan yang mempunyai kedudukan sosial yang istimewa – berpendidikan tinggi, berlatarbelakang kelas atasan dan punyai akses kepada wacana itu sendiri. Secara langsung ini membezakan mereka daripada golongan terpinggir yang diperjuangkan itu. Forum ini walaubagaimanapun bukanlah satu usaha untuk mempersoalkan keikhlasan para aktivis atau perjuangan mereka, tetapi mahu mempermasalahkan keselesaan intelektual-aktivis dengan menitikberatkan posisi mereka dalam rangkaian hubungan kuasa yang menindas dan meminggir. Apakah benar suara golongan terpinggir tiada wujudnya? Adakah persoalan ini merupakan persoalan remeh politik identiti? Perlukah kita mempersoalkan tugas seorang cendekiawan dalam masyarakat? Bagaimana perjuangan dan wacana untuk membebaskan golongan tertindas mengelak dari menjadi usaha bersifat imperialistik dan top-down?

Moderator:

Rusaslina Idrus, Universiti Malaya

Panelis:

  • Thilaga Sulathireh, Justice for Sisters
  • Nicol Paul Miranda, Occupy Dataran

Profil Panelis

02:00 petang

Berhala Ilmu Barat

Di mana kiblat ilmu dunia ketiga?


Dari teori kritis dan kajian gender hinggalah ke fizik kuantum dan Marxisme, hingga ke hari ini golongan intelektual di Asia Tenggara masih lagi berpegang erat pada kerangka pemikiran yang berakar di era Pencerahan Barat. Kita telah ratusan tahun diselesakan dengan hanya satu teori ilmu (atau “epistemologi”) yang berakar di era Pencerahan Barat. Tidak dinafikan, ilmu-ilmu ini juga punyai nilai universal yang amat berguna kepada masyarakat Dunia Ketiga dan tidak seharusnya ditolak. Tetapi, adakah kita telah meminggirkan pelbagai bentuk ilmu yang datang dari pengalaman sejarah dan geografi masyarakat kita sendiri? Adakah perlu kita menilai semula kebergantungan kita kepada epistemologi Barat? Bagaimana persoalan ini dijejaki tanpa jatuh ke kancah politik identiti dan etnonasionalisme? Apakah epistemologi-epistemologi alternatif yang dimaksudkan ini dan bagaimana pula ilmunya dihasilkan? Adakah ianya boleh menjadi satu madah pembebasan atau inspirasi untuk sebuah pembangunan yang mapan?

Moderator:

Azhar Ibrahim, Universiti Kebangsaan Singapura

Panelis:

  • Ahmad Fuad Rahmat, University of Nottingham Malaysia Campus & BFM Night School
  • Farid Alatas, Universiti Kebangsaan Singapura
  • Katrin Bandel, Universitas Sanata Dharma

Profil Panelis

03:45 petang

Hentikan Pencakar Langit, Lebuhraya dan Empangan!

Membincangkan perang pemisah di Patani dan Asia Tenggara


Sudah beberapa dekad kita disuguhi dengan projek-projek pembangunan – ratusan pencakar langit, lebuhraya yang melingkar kota-kota, empangan mega yang menadah tasik-tasik, kompleks beli belah gergasi merata-rata. Tentunya kita mudah akui yang “pembangunan” telah membawa kepada masyarakat yang lebih baik dan makmur. Tetapi jika ini benar mengapa ada kelompok yang masih menolak “pembangunan”? Forum ini cuba mempermasalahkan idea pembangunan dengan membawa lensa ekologi dan keadilan sosial dengan mematahkan imej progresif yang diberikan kepada idea yang sering dijaja kepada kita di Dunia Ketiga. Tapi masa yang sama kita juga bersoal bagaimana kita membina perumahan yang secukupnya, memberi keperluan asas masyarakat jika hutan tidak ditebang atau minyak tidak digali?

Moderator:

Hazman Baharom, Universiti Terbuka Anak Muda

Panelis:

  • Wayan Gendo Suardana, Forum Bali Tolak Reklamasi
  • Mia Yusri, Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS)

Profil Panelis