#idearaya

Profil Panelis & Moderator


farif

Syed Farid Al-AttasUniversiti Kebangsaan Singapura

Syed Farid Alatas ialah Professor Madya di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan sebelum itu juga merupakan tenaga pengajar di Universiti Malaya. Dengan susur galur keilmuan yang masyhur, beliau merupakan seorang pakar sosiologi ilmu, agama dan sejarah yang terkemuka.

Dalam arus wacana politik, Farid Alatas merupakan sebuah suara rasional yang memanggil kepada penilaian semula sektarianisme dan kesempitan naratif Islam di dalam budaya media dan politik Malaysia. Usaha ini seringkali membuatkan beliau berdepan dengan agamawan dan puak konservatif Salafi dalam pelbagai institusi negara.

Farid Alatas terkenal dengan pengajian dan penyelidikan beliau yang memeriksa kebergantungan para sarjana Dunia Ketiga kepada akademia Barat. Antara usaha beliau ialah pengenalan semula Ibn Khaldun sebagai kerangka sosiologi alternatif dalam mengkaji masyarakat Asia.


azhar

Azhar IbrahimUniversiti Kebangsaan Singapura

Azhar Ibrahim merupakan Felo Jemputan di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Pemikiran beliau menyelusuri gerakan dan sejarah keilmuan intelektual di alam Melayu dimana beliau menggali semula tradisi humanis di antara tokoh cendekiawan awal dan kontemporari. Di dunia dimana warga Asia lebih akrab dengan tulisan Slavoj Zizek daripada Syed Hussein Alatas; Azhar Ibrahim hari ini menggariskan semula sebilangan tokoh sastera dan akademik Asia Tenggara yang makin pudar dalam diskusi masyarakat dan kepentingan membawa renungan intelektual-intelektual ini dalam perbincangan kontemporari.

Di sinilah keunikan posisi Azhar Ibrahim, beliau menggandingkan teori sosiologi dengan warisan kesusasteraan dunia Melayu – hasilnya ialah sebuah oeuvre yang kosmopolitan memberi perspektif yang segar dalam menganalisis pelbagai fenomena sosial seperti gerakan Islam, Orientalisme dan sejarah.


faisal-tehrani (1)

Faizal Musa, Faisal Tehrani

Faisal Tehrani lebih terkenal dengan isu Syiahnya berbanding segugus ranum karya-karya seninya yang bukan sahaja bercakap tentang agama, tetapi tentang masalah masyarakat. Kajiannya kini banyak tertumpu untuk memakaikan hak asasi dalam menangani isu-isu minoriti dalam agama dan juga wacana hak asasi dalam sastera Melayu.

Beliau ialah Felo Penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah Institut Alam dan Tamadun Melayu. Tulisannya bukan sahaja dalam seni sastera tetapi juga beliau ada menulis di akhbar seperti di Malaysiakini untuk hal-hal agama, demokrasi dan hak asasi manusia. Terbaru, rentetan pembentangannya di UKM tempoh hari, kini beliau terbabit untuk debat antaranya dan Prof Madya Khalif Muammar, khususnya berkaitan ulama jadong. Beliau juga pernah mendapat tunjuk ajar dari Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, Sasterawan Negara Dato Shahnon Ahmad, pemenang SEA Write Award Zaharah Nawawi dan Sutung Umar RS dalam bidang puisi.

Meski bukunya kini telah masuk lima diharamkan, jangan tidak tahu bahawa tulisannya (polos dan murni) pernah masuk ke sekolah-sekolah sebagai satu teks wajib iaitu dengan cerpennya ‘Kerana Manisnya Epal’. Paling terkini, beliau sedang terlibat dengan buku kartun kanak-kanak untuk Advencer Yaya dan Fufu.


 

katrin

Katrin Bandel, Universitas Sanata Dharma

Lahir di Wuppertal, Jerman dan langsung menetap di Yogyakarta sejak tahun 2002. Memposisikan diri awalnya sebagai seorang Indonesianis, beliau seterusnya banyak menulis dan berkarya dalam Bahasa Indonesia untuk “…menyapa audiens yang jelas…” melalui cerpen, puisi dan esei di media umum mahupun di dunia akademik. Penulisan beliau antaranya  boleh dilihat di majalah sastera terulung Indonesia iaitu Horison, juga di akhbar Kompas serta pelbagai lagi jurnal-jurnal sastera. Sudut suara beliau unik: seorang wanita Eropah yang mengamati Indonesia bukan dari luar tetapi sama berturut serta dalam kehidupan budaya Indonesia di Indonesia. Hasilnya, beliau mempunyai perspektif yang luar biasa dalam menganalisa sastera dan ini jelas dalam karyanya Sastra Nasionalisme Pascakolonialitas.

Beliau menyelesaikan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam Sastera Indonesia pada tahun 2004 di Universiti Hamburg, Jerman dengan tajuk “Pengobatan dan Ilmu Gaib dalam Prosa Modern Indonesia” dan sehingga kini mengajar “Ilmu Religi dan Budaya” di Universitas Sanata Dharma di Yogyakarta.


wayan

Wayan Gendo SuardanaForum Bali Tolak Reklamasi

Pulau Bali, Indonesia – apa lagi kalau bukan pulau tropika indah yang eksotik dengan warisan budaya Hindunya, tariannya yang gemersik dan pesisir pantai yang mengagumkan. Tapi semua ini bakal hilang ditelan pembangunan yang tidak terkawal. Wayang Gendo Suardana merupakan suara kepada gerakan sosial di Bali yang sedang menentang projek reklamasi tanah di salah sebuah teluk di pulau tersebut.

Forum Tolak Reklamasi Bali, gerakan yang diketuai oleh beliau, kini telah menjadi salah satu mobilisasi ekologi yang semakin disedari bukan sahaja di Indonesia malah di media antarabangsa. Bersama pelbagai penggerak dan aktivis alam sekitar, Wayan Gendo Suardana kini berada di barisan depan dalam usaha rakyat biasa mempertikaikan nilai serta makna pembangunan di Dunia Ketiga.


mia

Mia YusriJaringan Orang Asal Se-Malaysia

Mia Yusri membesar di sebuah kawasan pedalaman Pahang yang dipanggil Sungai Mai. Sebagai seorang Jahut, salah satu suku Orang Asli, beliau menikmati hubungan yang akrab dengan tanah leluhurnya. Hubungan dengan alam ini bukan sekadar simbiosis yang zahir tetapi lebih daripada itu – ianya satu hubungan kerohanian dan keagamaan. Inilah yang menjadi batu asas kepada perjuangan organisasi Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) dimana Mia Yusri merupakan Timbalan Pengerusi Belianya.

JOAS telah menyatukan pelbagai usaha suku-suku Orang Asal untuk menentang penjarahan tanah leluhur mereka yang telah melanggar pelbagai undang-undang negara ini.  Pokoknya kata Mia dalam ucapannya di ASEAN People’s Forum baru-baru ini, masyarakat perlu beranjak dari imaginasi kolot yang sekadar melihat Orang Asal sebagai miskin dan terpinggir. Mia menganjur paradigma baru yang cuba dibawa oleh JOAS iaitu Orang Asal punyai hak untuk menentukan masa depan mereka dan pada masa yang sama juga berhak untuk memberi keizinan dengan bebas, bermaklumbalas, dan diberi masa terlebih dahulu sebelum apa-apa projek pembangunan dijalankan. JOAS bersama aktivis-aktivis belia seperti Mia secara langsung mempertikaikan premis-premis tentang makna pembangunan itu sendiri, sekaligus membawa kita untuk menilai makna tamadun manusia itu sendiri.


arfan

Arfan WattanaPersekutuan Mahasiswa dan Anak Muda Patani

Arfan Wattana ialah Pengarah Advokasi untuk sebuah insiatif anak muda Pattani, Persekutuan Mahasiswa Anak Muda dan Siswa Pattani (PerMAS). Di dalam kekelaman komentari tentang konflik Selatan Thailand, anak muda ini punyai laungan yang jelas: tegakkan Piagam PBB yang telah menggariskan setiap bangsa punyai hak untuk menentukan nasib dan masa depannya sendiri. Organisasinya berfungsi sebagai sebuah ruang menghubungkan gerak kerja demokratik di wilayah-wilayah Selatan Thailand dan juga menggerakkan advokasi di negara-negara jiran.

Di media antarabangsa, kita digambarkan Selatan Thai sebagai sebuah kisah siri pengeboman semata-mata atau kisah yang terhad kepada pihak tentera dan puak pemisah, tetapi ianya punyai medan yang lebih luas. Arfan Wattana serta rangkaian anak muda ini merupakan sebuah aktivisme yang memperjuangkan keamanan serta keadilan yang fasih dengan bahasa hak asasi manusia serta piagam-piagam antarabangsa. Tentunya organisasi yang sejelas ini perjuangannya tidak terlepas dari keganasan rutin tentera kerajaan.


adrian

Adrian PereiraNorth-South Initiative

Adrian Pereira ialah Pengarah Eksekutif untuk North-South Initiative yang berpusat di Petaling Jaya. Organisasi yang dipacu beliau ini berfungsi untuk menjadi jambatan kepada “jurang solidariti” berasaskan hak asasi manusia di antara negara-negara maju dan membangun. Ianya juga digerak untuk memperkasakan inisiatif akar umbi lain yang  mewakili golongan-golongan terpinggir seperti Orang Asal, mahasiswa, Papua Barat, pekerja migran, pelarian serta golongan petani. Antara gerak kerja utama Adrian ketika ini ialah berkerjasama dengan kumpulan-kumpulan anak muda di Patani, Selatan Thailand dimana mereka sedang membuat sebuah inisitatif akar umbi untuk sebuah keamanan yang adil.

Untuk Adrian, batu asas untuk pemerkasaan bukanlah dengan mewakili suara golongan terpinggir sebaliknya dia percaya bahawa setiap kumpulan boleh mengatasi penindasan mengikut cara masing-masing. Model perubahan sosial yang digarapnya ini datang dari konsep South to South Solidarity dimana beliau percaya rakyat negara-negara membangun bersolidariti dan berdiskusi bersama untuk menentukan agenda pembangunan yang selayaknya untuk mereka sendiri.


bawani

Bawani KSJaringan Rakyat Tertindas

Listen, listen, listen” telah menjadi salah satu detik paling ikonik dalam budaya pop Malaysia: Seorang pelajar undang-undang di sebuah universiti di Utara, Bawani KS dalam video YouTube itu berdiri menyuarakan pendapat beliau tegas mendepani bukan sekadar seorang penceramah agresif tetapi juga sebuah institusi yang menindas. Hal itu sekaligus melahirkan Bawani yang kita kenali hari ini, seorang selebriti dalam dunia politik Malaysia dan pejuang keadilan sosial. Kini Bawani merupakan salah seorang tokoh anak muda yang membawa posisi politik kiri yang jelas. Beliau merupakan pengasas Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) dan ahli kepada inisiatif kiri Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit). Selain itu, beliau juga aktif bergerak sama dengan Parti Sosialis Malaysia.

Melihat kepada gelombang perubahan dalam masyarakat yang semakin dekat dengan nilai-nilai neoliberal, anak muda seperti Bawani lah yang meneruskan obor perjuangan kiri yang berakar tidak lain tidak bukan dari semangat kemerdekaan terawal tanahair ini.


teo

Teo Lee KenUniversiti Kebangsaan Singapura

Teo Lee Ken ataupun lebih dikenali sebagai Ken, adalah anggota kumpulan Diskopi, iaitu sebuah kumpulan diskusi yang berakar di UKM Bangi. Seorang humanis dan penulis, beliau menanam minatnya dalam lapangan sejarah intelektual, teori sosial, sastera dan politik. Anak kelahiran Pulau Pinang ini mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan kemudiannya Universiti Kebangsaan Singapura.

Bersama Diskopi dia terlibat dalam penganjuran kumpulan-kumpulan membaca di Bangi dan Kuala Lumpur. Dia juga mendirikan kuliah teori sosial bersama Kelab Bangsar Utama, sebuah lagi kumpulan diskusi di KL. Dia berpegang keramat pesan dari Fromm – “to be loved, and to love, need courage, the courage to judge certain values as of ultimate concern-and to take the jump and stake everything on these values” – dan juga saranan Ali Shariati – “life is conviction and struggle, and nothing more”. Kini, Ken sedang melanjuti pengajian pascasarjana di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura. Ternyata, watak seperti Ken inilah yang akan meyakinkan semua yang bahawasanya masa depan akan akhirnya menjadi milik anak muda – kosmopolitan, intelektual dan punyai kesedaran sosial yang tajam.


fuad

Ahmad Fuad Rahmat, University of Nottingham Malaysia Campus/BFM Night School

Ahmad Fuad Rahmat dikenali ramai melalui segmen BFM Night School dimana beliau mengupas teori sosial dan kemanusiaan di gelombang radio. Dilatih dalam bidang Politik dan Falsafah Sosial di Ireland dan Amerika Syarikat, beliau merupakan salah seorang suara utama dalam menangkis kebangkitan naratif politik yang konservatif di Malaysia. Bermula dengan penglibatan awal beliau di Islamic Renaissance Front (IRF), Fuad mula memberi fokus kepada menggerakkan wacana ke dalam bahasa Melayu. Antara usaha beliau untuk tujuan ini ialah Projek Dialog, sebuah portal untuk membahaskan isu-isu silang budaya dan kemudiannya Sekolah Falsafah, sebuah kelas untuk meningkatkan kefahaman tentang Falsafah Barat dalam bahasa Melayu.

Ketika ini beliau sedang berkhidmat di University of Nottingham (Malaysia Campus), Semenyih dimana beliau juga menjalankan penyelidikan tentang budaya pop Melayu dan pertembungannya dengan teori kritis. Penulisan beliau telah diterbitkan dalam pelbagai terbitan berkala yang terkemuka seperti Critical Muslim, Radical Philosophy dan juga jurnal-jurnal akademik yang lain.


sharifah

Sharifah Nursyahidah, Sosialis Alternatif/CWI

Dari negeri di bawah bayu, Sharifah Nursyahidah ialah seorang penggerak komuniti Buku Jalanan di Kota Kinabalu, dan Sosialis Alternatif/CWI. Sebelum ini beliau juga pernah melibatkan diri dalam sebuah advokasi Pendaftaran Kelahiran dan Dokumentasi di Sabah. Graduan Sains Politik dari UiTM dan UKM ini juga merupakan seorang pemerhati budaya dan politik Malaysia yang tajam. Renungan Sharifah merangkumi spektrum yang luas, dari budaya punk di Malaysia hinggalah ke komentari politik Sabah. Penulisan beliau boleh dilihat di The KL Review, sebuah majalah sastera dan politik serta Solidariti Pekerja, sebuah akhbar kiri berkisar hal-hal perjuangan kelas.


thilaga

Thilaga Sulathireh, Justice for Sisters

Thilaga merupakan aktivis hak asasi manusia yang banyak terlibat dalam program-program kesedaran masyarakat mengenai komuniti LGBTIQ di Malaysia. Beliau banyak merintis dan mengendalikan program penjelasan di ruang awam terutamanya melalui wahana masyarakat sivil di Malaysia. Beliau juga merupakan pengasas kepada kempen Justice for Sisters dan salah seorang anggota Coalition of Malaysian NGO’s (COMANGO) untuk tujuan membantu pantauan berkala Universal Periodic Review di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Thilaga merupakan salah seorang penganjur program Seksualiti Merdeka pada 2011 yang kemudiannya telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Beliau mengharapkan sebuah masa depan Malaysia di mana semua pihak berhak bersuara dan menjadi diri mereka sendiri tanpa dipaksa oleh pihak yang berkuasa.


nicol

Nicol Paul Miranda, Occupy Dataran

Seawal umur 17 tahun, anak jati Brickfields ini telah menggegarkan arena media apabila dia telah digantung oleh sekolahnya selepas mengkritik Rukun Negara dalam peperiksaan percubaan SPM-nya. Jauh dari membatas sikap dan fikiran kritikal, insiden itu telah sebaliknya membaptiskan Nicol sebagai antara aktivis sosial yang paling kritikal di Kuala Lumpur. Gaya debat dan persoalannya yang ala “take-no-prisoners” telah membuatkan beliau menghunuskan pedang kritik bukan sekadar kepada kerajaan yang memerintah tetapi lebih menarik juga kepada NGO-NGO liberal tajaan Amerika Syarikat hinggalah ke tokoh popular seperti sasterawan A. Samad Said. Nicol juga merupakan salah seorang demonstran yang berkhemah beberapa minggu di Occupy Dataran pada tahun 2011 dan juga pernah berkerjasama dengan inisiatif LBGT tempatan iaitu Seksualiti Merdeka. Seorang pembaca tegar, beliau merupakan seorang autodidact yang sentiasa mempermasalahkan segala jenis keselesaan sosial, intelektual dan politik terutama di kalangan golongan aktivis. Pokoknya jika terhulur hulu keris kepada anak muda yang avant-garde ini, tentunya ramai yang akan terhiris.


nasha

Nasha Rodziadi Khaw, Universiti Sains Malaysia

Nasha merupakan seorang arkeologis di Centre for Global Archaeological Research, Universiti Sains Malaysia. Pengkhususan beliau dalam epigrafi-paleografi telah membawa beliau berkhidmat di University of Peshawar, Pakistan dimana beliau mengkaji inskripsi Sanskrit di rantau Pakistan dan Afghanistan. Selain itu, beliau juga seorang pakar dalam sejarah Kedah Tua dan dalam hal ini, beliau membawa beberapa penilaian semula yang menarik. Contohnya tentang proses Indianisasi ketika itu dan kemudian lebih menarik juga, eksperimentasi dengan sudut pandang Marx-Lenin dalam proses pensejarahan Kedah Tua – secara langsung memberi naratif sejarah yang segar.

Sebelum ini, beliau juga banyak terlibat dengan usaha-usaha penggalian arkeologi di Lembah Bujang, Kedah bersama pasukan arkeologi USM. Buku sulung beliau, Sejarah Arkeologi Nusantara: Cerakinan Arkeologi dan Sejarah, bersama Nazarudin Zainun, diterbitkan pada tahun 2015.


diana

Diana Wong, Ahli Sosiologi

Diana Wong ialah sejarawan yang memiliki kepakaran mengenai migrasi dan perubahan serta percampuran budaya dalam sejarah moden Asia Tenggara. Beliau memiliki latar belakang dalam pengajian Sains Sosial sehingga ke peringkat doktorat. Diana merupakan seorang sarjana yang amat berpengalaman dalam kajian Asia Tenggara khususnya migrasi dan hubungan trans-budaya, dan pernah menjadi Felo di Institute for Southeast Asian Studies (ISEAS), Singapura.

Beliau banyak menerbitkan kertas penyelidikan mengenai migrasi antarabangsa, kependudukan, kepelbagaian budaya, dan kajian peperangan berkait Asia Tenggara. Selain itu, beliau pernah menjadi editor bagi jurnal SOJOURN dan jurnal-jurnal akademik yang lain.


nazmi

Nik Nazmi, EXCO Negeri Selangor

Bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) ini melanjutkan pengajian tinggi di King’s College, London di dalam bidang undang-undang. Ketika zaman mahasiswanya, Nik Nazmi aktif berpersatuan seperti Majlis Perwakilan Pelajar United Kindgom & Eire (UKEC), King’s College London Labour Students dan Persekutuan Pelajar-Pelajar Islam United Kingdom & Eire (FOSIS).

Beliau merupakan ADUN Seri Setia sehingga kini dan juga menyandang jawatan sebagai EXCO Pendidikan Kerajaan Negeri Selangor. Ketika ini juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).


rusaslina

Rusaslina Idrus, Universiti Malaya

Rusaslina ialah seorang pensyarah di Jabatan Kajian Gender, Universiti Malaya. Graduan tiga institusi Ivy League ini (Cornell, Yale dan Harvard) berkecimpung dalam bidang antropologi sosial dimana beliau meneliti gender, pembangunan, isu Orang Asal, ekologi dan politik.

Beliau merupakan salah seorang penggerak Pusat Sejarah Rakyat, arkib bebas yang mengumpul dan menginterpretasi sejarah alternatif di Malaysia. Selari dengan inisitiatif tersebut, beliau juga menggerakkan sebuah lagi arkib sejarah online iaitu SejarahWanita.org yang cuba menggugat naratif sejarah yang menenggelamkan wanita dalam proses sosial. Bersama beberapa rangkaian pensyarah-pensyarah progresif yang lain, Rusaslina mewakili arus baru yang sedang menghidupkan kembali semangat dan jiwa universiti di Malaysia.


hazman

Hazman Baharom, Universiti Terbuka Anak Muda

­­

Hazman Baharom merupakan pengasas bersama Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), sebuah gerakan intelektual yang bermatlamat untuk membawa wacana keilmuan kepada masyarakat khususnya anak muda Malaysia dalam Bahasa Melayu. Beliau berkelulusan bidang Ekonomi dan Kajian Sosial dari University of Manchester.

Ketika di Manchester dahulu, beliau telah mengasaskan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Melayu (MALECS) yang berusaha mewacanakan sejarah dan kebudayaan Melayu dalam kalangan mahasiswa universiti. Hazman kini bekerja sepenuh masa dengan menulis, menterjemah, dan mengajar, selain bekerja sambilan sebagai eksekutif sebuah syarikat korporat untuk membayar hutang pengajiannya dahulu. Beliau juga aktif membentang makalah di seminar-seminar khusus bidang falsafah dan sejarah di Malaysia. Lebih serius lagi, menurut rakan-rakannya dia masih belum mempunyai Whatsapp messenger setakat ini.

 


febriansyah

Muhammad Febriansyah, Sosialis Alternatif/CWI

Febriansyah merupakan seorang akademik dalam bidang Sains Politik dan pemerhati politik Indonesia yang tekun. Beliau pernah berkhidmat di pengajian Sejarah, Politik dan Strategi di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Dengan kebangkitan semula Indonesia sebagai sebuah kuasa budaya dan ekonomi, catatan dan komentari beliau tentang republik tersebut sering terudara di saluran-saluran arus perdana seperti Astro Awani dan Sinar Harian.

Beliau juga merupakan salah seorang tonggak dalam Sosialis Alternatif yang merupakan ranting tempatan kepada organisasi kiri antarabangsa Committee for a Workers International. Sosialis Alternatif menjalankan usaha advokasi dan juga mobilisasi komuniti untuk memberikan perspektif perjuangan kelas dalam mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah dalam masyarakat yang disebabkan oleh sistem politik dan ekonomi kapitalis.


 

Leave A Comment

Your email address will not be published.