#idearaya

Program

 

Tentang Idearaya

Idearaya; sebuah festival seni budaya dan ilmu ke arah pemberdayaan masyarakat progresif sekitar Asia Tenggara. Festival alternatif yang menjadi wahana silang budaya dan disiplin ilmu ini bertujuan untuk menemukan penggerak kebudayaan, pengkarya seni, ahli sastera, cendekiawan serta kolektif dan aktivis akar umbi. Dengan satu tujuan; ia mencetuskan idea dan gerak daya dalam mengangkat isu-isu terpinggir di rantau ini.

Idearaya juga adalah sebuah ruang dinamik serta strategik dalam meraikan dan menggalakkan pertembungan idea kritis dan daya kreatif.  Justeru, proses pendidikan melalui pembudayaan wacana dan aksi langsung yang berterusan dalam menggugah tatanan kekuasaan sedia ada memainkan peranan yang penting.

Sebagai sebuah rantau yang kaya khazanahnya, nilai tradisi dan ilmu yang didiami ratusan juta penduduk, warga Asia Tenggara perlu memberikan perhatian kepada pemberdayaan masyarakatnya melalui dinamika ilmu pengetahuan. Pacuan proses ini adalah ke arah membina masyarakat dunia rencam budaya dalam meraikan gagasan idea dan daya yang saling membina.

Tema Idearaya

Idea /īˈdēə/ (k. n.); teori, cetusan, daya, tujuan, sasaran.

Raya /rᴧjᴧ/ (k. k, adj.); gagasan, besar, keraian.

Idearaya; gabungan kedua-dua perkataan ini memberi satu gambaran gagasan alternatif Asia Tenggara dalam menzahirkan keberpihakan kepada masyarakat marjinal. Idea yang dirayakan melalui wahana forum, syarahan, tayangan, diskusi, bengkel, persembahan serta pameran yang akan berlangsung selama dua hari festival di Laman Budaya, Shah Alam.

Antara yang menjadi keutamaan dalam Idearaya edisi kali ini akan berlegar di sekitar isu:

  • hak asasi
  • sejarah
  • falsafah
  • budaya
  • ekonomi/ekologi

Ia akan menjadi medan cetusan idea dan daya dalam menggerakkan dan mensasarkan masyarakat akar umbi bertujuan untuk merebut ruang pemberdayaan yang berterusan.

 


 

Lihat Jadual Penuh